OKTOBER 2021

Sarawak Peruntuk RM10.646 Bilion Belanjawan 2022


KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM10.646 bilion untuk Belanjawan Negeri 2022, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, RM4.046 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM7.509 bilion perbelanjaan pembangunan.

Ketua Menteri yang juga Menteri Perancangan Sumber berkata, dengan memperoleh pendapatan RM10.036 bilion dan memperuntukkan RM10.646 bilion sebagai belanja mengurus dan pembangunan, Belanjawan Negeri 2022 akan mengalami defisit RM610 juta.

Dengan mengambil kira kesan akibat pandemik Covid-19 ke atas ekonomi dan hidup rakyat, kerajaan negeri perlu melaksanakan dasar pengembangan fiskal untuk meningkatkan daya pengeluaran dan memulihkan semula ekonomi, katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di sini.

Belanjawan Negeri 2022 bertemakan ‘Bersatu Dalam Membangun Masyarakat Yang Berdaya Tahan, Inklusif dan Progresif’.

Abang Johari menegaskan, Bajet Negeri 2022 akan memberi keutamaan kepada enam perkara yang mempunyai kesalinghubungan dan tonggak pengukuhan.

Pertama, ke atas kesihatan yang fokus untuk menyelamat nyawa dengan menangani pandemik Covid-19, kedua, melindungi rakyat melalui langkah lebih meluas dan inklusif dengan menyediakan perkhidmatan, bantuan dan skim perlindungan sosial.

Ketiga, memulihkan semula dan menggerakkan ekonomi melalui pengwujudan peluang pekerjaan dan peluang menjana pendapatan serta menyokong perniagaan mikro, perusahaan kecil dan sederhana, keempat, merapatkan hubungan sosial dan membangunkan masyarakat bagi merapatkan jurang sosioekonomi dan ketidakseimbangan antara bandar dan luar bandar.

Kelima, mentransformasi ekonomi digital yang fokus kepada menyediakan hubungan internet mampu milik dan khidmat berorientasikan digital dan keenam, mengoptimumkan sumber dan pertumbuhan sektor pelancongan, pertanian, perhutanan, perlombongan, pengilangan, perkhidmatan, pendidikan, sains dan teknologi.

Sumber dari : Jiwa Bakti